SEJARAH


SEJARAH  SEKOLAH
 Mengikut buku pendaftaran murid dalam tulisan Jawi, sekolah ini telah pun wujud sebelum merdeka lagi, iaitu di bawah pentadbiran “Straights Settlements of Education”. Ini dibuktikan dengan tandatangan S.C Heil seorang nazir ketika itu dipanggil “Inspektor Straits Settlements of Education” di dalam buku pendaftaran tersebut.

                Sekolah Ini merupakan satu-satunya Sekolah Melayu dalam kawasan Ayer Itam. Dari buku pendaftaran murid, sekolah ini dimulakan 1 Ogos 1881 dengan 42  orang murid dengan nama Sekolah Goverment Ayer Itam, Pulau Pinang. Murid-murid di sekolah ini datang sekitar kawasan Ayer Itam seperti Paya Terubong, Kampong Melayu dan Kampong Bahru. Mereka berumur di antara enam hingga dua belas tahun. Mata pelajaran yang diajar di sekolah pada masa itu ialah Bahasa Melayu dan juga bacaan Al-Quran.

                Murid-murid yang belajar dari tarikh 1 Ogos 1881 hingga 1 September 1930 ialah seramai 735 orang yang terdiri daripada murid-murid lelaki Melayu  dan seorang murid Cina. Guru Besar dari tahun 1881 hingga 1907 tidak dapat dikesan kerana rekod-rekod mengenai sekolah ini terdapat di dalam laporan “Straights Settlements of Education” yang disimpan oleh pihak Perpustakaan Kebangsaan Singapura dan London School of Economics Library.

                Pada tahun 1908 hingga 1931, Encik Abu Bakar Bin Naina Fakir telah menjadi Guru Besar sekolah tersebut. Pada tahun 1921, sebuah bangunan sekolah yang mengandungi empat buah bilik darjah dan sebuah rumah guru telah didirikan di Jalan Ayer Itam. Bangunan sekolah ini masih terdapat hingga sekarang dan telah dipinjamkan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

                Pada tahun 1932 hingga 1933, sekolah ini ditadbir oleh Encik Arshad Bin Yahaya. Matapelajaran yang diajar di sekolah ini ketika itu ialah Jawi, bacaan Jawi, Kira-kira, Ilmu Alam, Karangan, Ilmu Kesihatan, Lukisan dan Pekerjaan Tangan. Nama sekolah pada masa itu ialah Goverment Malay School, Ayer Itam.

                Encik Abdul Razak Bin Y. Mohd menjadi Guru Besar dari tahun 1934 hingga  1935, sebuah bangunan sekolah mengandungi dua bilik darjah telah dibina di Jalan Kampong Melayu (tapak sekarang ini). Murid-murid lelaki belajar di bangunan baru ini dikenali dengan Sekolah Lelaki. Bangunan sekolah di tapak lama digunakan oleh murid-murid perempuan dan dikenali sebagai Sekolah Perempuan. Bilangan murid perempuan adalah lebih kecil berbanding dengan murid lelaki.

                Pada tahun 1936 hingga 1937, sekolah ini ditadbir oleh Encik Abdullah Bin Yahaya. Kemudian diikuti oleh Encik Baharuddin Bin Haji Hassan pada tahun 1937 hingga 1940. Pada tahun 1937, sebuah lagi bangunan tambahan dua tingkat yang mengandungi dua bilik darjah telah dibina. Bangunan papan ini masih ada lagi di tapak sekolah sekarang. Ia didirikan kerana pertambahan penduduk yang pesat di sekitarnya.

Tuan Haji Din Bin Mat Telah menjadi Guru Besar dari tahun 1941 hingga 1948. Semasa Pemerintahan Jepun 1942-1945, sekolah ini telah dijadikan Sekolah bahasa Jepun. Setelah tamat pemerintahan Jepun pada 1946, sekolah ini mula dikenali sebagai Sekolah Melayu Ayer itam.

                Guru Besar yang ketujuh mengikut senarai ialah Encik Shahid Bin Haji Abdullah. Beliau menjadi Guru Besar dari tahun 1948 hingga 1951. Setelah itu, diikuti oleh Encik Abu Salim Bin Yob Mohammad dari tahun 1952 hingga 1953. Pada tahun 1953 hingga 1955 sekolah ini ditadbir oleh Encik Hashim Bin Yassin.

                Semasa pentadbiran Encik Mohd Yusoff Bin Kechik pada tahun 1955, nama sekolah masih dikenali sebagai Sekolah Melayu Ayer Itam. Pada tahun itu, sebuah kelas aliran Bahasa Inggeris telah dibuka. Jumlah muridnya adalah seramai 38 orang. Nama guru aliran Inggeris ialah Encik Lim Chong Soon. Kemudian beliau menjadi Guru Besar pertama Sekolah inggeris Ayer Itam.Dari tahun 1955 hingga 1959 kelas aliran Inggeris ini berkongsi bangunan papan yang masih ada sehingga sekarang. Kelas aliran Inggeris ini telah berpindah ke bangunan baru pada tahun 1960 yang mengandungi enam buah kelas dan sebuah pejabat. Kos pembinaan bangunan ini ialah RM 60,231.80. Pada tahun yang sama, sebuah kantin telah dibina.

                Di bawah pentadbiran Encik Mohd Yusoff, pada tahun 1957, nama sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Umum Ayer Itam (setelah Laporan Razak disahkan oleh Ordinan Pelajaran 1957). Beliau mentadbir dari tahun 1955 hingga 1964. Pada tahun 1965, sekolah ini telahditadbir oleh Encik Abdullah Bin Ayob. Kemudian pada tahun 1966 sebuah bangunan yang mengandungi empat buah bilik darjah siap dibina. Bangunan ini pada mulanya telah digunakan oleh Sekolah Inggeris Ayer Itam. Setelah siap bangunan tiga tingkat, bangunan dua tingkat yang mengandungi empat bilik darjah dan sebuah pejabat telah diserahkan kembali kepada Sekolah Umum Ayer Itam.

                Pada tahun 1977 Encik Syed Fiz Bin Syed Ahmad telah bertugas sebagai Guru Besar. Encik Elias Bin Abu Bakar telah menggantikan Encik Syed Faiz Bin Syed Ahmad dari tahun 1978 hingga 1981. Kemudian, Encik Faiz Bin Syed Ahmad bertugas semuka pada tahun 1981 hingga 1983, diikuti oleh Encik Mohd Yusoff Bin Salleh tahun 1984 danpada tahun yang sama Encik Zakaria Bin Che Pah menjawat jawatan Guru Besar hinggalah ke tahun 1987. Selepas itu diganti oleh Encik Che Amin Bin Man pada tahun !987 hingga 1989 dan seterusnya Encik Md Ibrahim Bin Nordin pula menjadi Guru Besar pada tahun 1989 hingga 1990.

                Puan Rokiah Binti Yusoff merupakan seorang guru wanita pertama memegang jawatan guru Besar di sekolah ini mulai tahun 1990. Sebuah kelas prasekolah telah dibuka pada tahun 1991. Memandangkan penduduk yang semakin bertambah di kawasan Kampong Melayu, pihak sekolah terpaksa mengadakan dua sesi persekolahan iaitu pagi dan petang. Dengan usaha dan kerjasama PIBG sekolah ini, sebuah surau telah didirikan bersebelahan kantin untuk kemudahan guru dan murid-murid.
   Pentadbiran dan pengurusan sekolah seterusnya diambil alih oleh Encik Hashim Kamal Bin Mohd Isa menggantikan Puan Rokiah binti Yusoff yang telah bertukar pada 15 Februari 1994. Encik Hashim Kamal Bin Mohd Isa menjawat jawatan sebagai Guru Besar dari tahun 1994 hingga 1997. Dalam pentadbirannya, pencapaian akademik dan kokurikulum ssekolah ini semakin meningkat.

   Pada pertengahan tahun 1997, Encik Hashim Kamal Bin Mohd Isa telah digantikan dengan Encik Mustaffa Bin Siddiq PJM yang telah berkhidmat sehingga Oktober 1998. Selepas Encik Mustaffa Bin Siddiq PJM bersara, beliau digantikan oleh Encik Mohd Akir Bin Hussein dari Oktober 1998 hingga Februari 2000. Ketika pentadbiran beliau, sebuah kelas komputer diwujudkan dengan kerjasama PIBG dan bangunan baru tiga tingkat juga sedang dibina. Beliau bersara pada 21 Februari 2000.

                Seterusnya pentadbiran sekolah ini diambil alih oleh Encik Shamsuddin Bin Mohd Ibrahim mulai 22 Februari 2000. Semasa dibawah bidang kuasa beliau, antara sumbangan yang diberikan adalah beliau bersama dengan YDP PIBG, Encik Baharuddin bersama dengan Guru Besar SK Seri Aman telah ke Kementerian dalam usaha untuk mendapatkan sebidang tanah di kawasan belakang sekolah yang mana adalah hak milik FARLIM SDN BHD untuk dijadikan sebagai padang bagi SK AYER ITAM dan SK SRI AMAN. Beliau telah mengakhiri perkhidmatan beliau di sekolah ini pada 06.07.2003.
 Puan Zalilah Binti Idris merupakan Guru Besar yang memulakan tugas beliau bermula 16 Oktober 2003 di sekolah ini. Dalam  tempoh itu banyak usaha beliau dalam meningkatkan pencapaian pelajar. Perkhidmatan beliau adalah sehingga 16 Disember 2004.

                Puan Masnoen Binti Randi merupakan Guru Cemerlang Prasekolah yang baru dilantik menjadi Guru Besar di sekolah ini bermula 16 Mei 2005 dan dengan pengalaman beliau tersebut, beliau telah membuka sebuah lagi kelas Prasekolah di sekolah ini menjadikan jumlah kelas Prasekolah sebanyak 2 Kelas. Beliau menamatkan tugas beliau di SK Ayer Itam sehingga 16 Julai 2007

                Kesinambungan jawatan Guru Besar sekolah telah disandang pula oleh Puan Azizon Binti Arriffin pada 16 September 2007. Sepanjang beliau di sini, beliau telah berusaha menyelesaikan masalah kebocoran paip air bawah tanah. Beliau telah mewujudkan saliran paip yang mudah diperhatikan dengan meletakkan saluran mudah dilihat. Di samping itu juga beliau turut berusaha meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum murid. Tempoh perkhidmatan beliau di sekolah ini sehinggalah 1 April 2011.

                Pada 1 April 2011, Encik Rahman Bin Ahmad yang berasal dari Nibong Tebal telah dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar di SK Ayer Itam. Diantara usaha yang telah dibuat oleh Encik Rahman ialah membuka Bilik Pendidikan Seni bagi memudahkan murid-murid mengikuti pelajaran Pendidikan Seni dengan lebih selesa dan berkesan. Tidak ketinggalan juga dalam bidang kokurikulum di mana sebuah pasukan Sofbol Sekolah telah ditubuhkan atas usaha beliau bersama guru-guru sekolah.
BENDERA SEKOLAH
 

  1. Sekolah Kebangsaan Ayer Itam berpegang kepada hasrat dan tekad untuk melahirkan warganegara Malaysia yang mempunyai ciri-ciri unggul berteraskan kepada matlamat Falsafah Pendidikan Negara.
  2. Warna Kuning pada bendera sekolah melambangkan warna Diraja. Ia juga melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.
  3. Lima bucu pada lencana melambangkan Rukun Negara dan Rukun Islam.
  4. Bucu di bawah menunjukkan setiap murid diasuh dari peringkat bawah ke atas.
  5. Sekolah Kebangsaan Ayer Itam adalah nama sekolah ini setelah ditukar dari nama Sekolah Umum Ayer Itam mengikut akta pendidikan 1960.
  6. Segitiga pada lencana menunjukkan tiga kemahiran iaitu membaca, menulis, dan mengira yang diajar di sekolah ini.
  7. Pokok Tanjung melambangkan guru sebagai tempat 'berteduh' kepada murid-murid.
  8. Empat belas ranting pada Pokok Tanjung melambangkan empat belas negeri di Malaysia di bawah pimpinan yang dipilih secara demokrasi.
  9. Perkataan "BERILMU" menunjukkan guru-guru dan murid-murid sekolah ini menimba ilmu untuk menghadapi hidup di dunia dan di akhirat.
  10. Warna kuning, biru, dan putih menunjukkan warna bendera negeri Pulau Pinang.


LENCANA SEKOLAH
 

  1. Lima bucu pada lencana melambangkan Rukun Negara dan Rukun Islam.
  2. Bucu di bawah menunjukkan setiap murid diasuh dari peringkat bawah ke atas.
  3. Sekolah Kebangsaan Ayer Itam adalah nama sekolah ini setelah ditukar dari nama Sekolah Umum Ayer Itam mengikut akta pendidikan 1960.
  4. Segitiga pada lencana menunjukkan tiga kemahiran iaitu membaca, menulis, dan mengira yang diajar di sekolah ini.
  5. Pokok Tanjung melambangkan guru sebagai tempat 'berteduh' kepada murid-murid.
  6. Empat belas ranting pada Pokok Tanjung melambangkan empat belas negeri di Malaysia di bawah pimpinan yang dipilih secara demokrasi.
  7. Perkataan "BERILMU" menunjukkan guru-guru dan murid-murid sekolah ini menimba ilmu untuk menghadapi hidup di dunia dan di akhirat.
  8. Warna kuning, biru, dan putih menunjukkan warna bendera negeri Pulau Pinang.